Amal Sunnah Bukan Sekadar Dapat Pahala Sunat
Sunnah Nabi (cara hidup nabi) memberi kita dorongan untuk membuat kebaikan. Ada sunnah iaitu cara hidup Nabi yang wajib diikuti dan ada juga yang sunat kita ikut. Sunnah bukan sekadar sunat iaitu “buat dapat pahala, tinggal tak berdosa”, tetapi mengamalkan dan menghidupkannya mempunyai banyak kelebihan yang disebut dalam beberapa hadith seperti mendapat petunjuk, dimasukkan ke dalam syurga, mendapat pahala 100 orang syahid. Oleh itu berbahagialah orang yang berkelakuan pelik daripada orang ramai (semata-mata kerana ingin menghidupkan sunnah nabi).
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali dagang (asing). Maka berbahagialah (beruntunglah) orang yang bersama Islam ketika ianya dagang (asing)”. (Hadith riwayat Muslim).
Allah cantikkan syariatnya dengan sunnah Nabi.
Ikuti Sunnah Rasulullah adalah satu daripada formula untuk berjaya di akhirat.
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat…. (Ahzab:21)
Sebagai contoh, syariat Allah ialah sembahyang fardhu lima waktu sehari semalam, maka cantikkan ia dengan sunnah Nabi seperti membuat azan, sembahyang berjemaah di masjid.
Daripada Ibnu Mas’ud Radhiallaahu anhu, ia berkata, “Sesungguhnya Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Salam mengajari kami sunnah-sunnah (jalan-jalan petunjuk dan kebenaran) dan di antara sunnah-sunnah tersebut adalah sembahyang di masjid yang dikumandangkan azan di dalamnya.” (HR. Muslim)
Kelebihan Menghidupkan Sunnah
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang berpegang teguh kepada sunnahku nescaya dia masuk syurga” (Riwayat Daruquthni melalui Aisyah r.a.). Daripada Anas .ra., Nabi SAW bersabda :Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka dia telah mengasihiku, dan sesiapa yang mengasihiku dia akan memasuki syurga bersama-sama aku!”
Nabi SAW yang bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpegang dengan sunnahku, ketika merata kerosakan pada ummatku, maka baginya pahala seratus orang yang mati syahid“. (Riwayat Baihaqi). Dalam riwayat Thabarani dari padaAbu Hurairah ra. ada sedikit perbezaan, iaitu sabdanya yang bermaksud: “Baginya pahala orang yang mati syahid”.
Daripada Anas bin Malik katanya, tiga orang telah datang ke rumah isteri-isteri Rasulullah s.a.w. mereka bertanya tentang ibadat baginda. Apabila mereka diceritakan seolah-olah mereka merasakannya sedikit. Mereka berkata: “Di manakah kedudukan kita jika dibandingkan dengan Rasulullah s.a.w. sedangkan baginda telah diampunkan dosanya yang terdahulu dan yang kemudian. salah seorang mereka berkata: “Saya akan sentiasa bersembahyang malam dan seorang lagi berkata: “Saya berpuasa sepanjang tahun, tidak akan berbuka(tidak ada hari yang tidak berpuasa) dan orang yang terakhir berkata: “Saya akan menjauhi perempuan dan tidak akan berkahwin selama-lamanya. Tiba-tiba Rasulullah datang kepada mereka seraya bertanya: “Kamukah yang mengatakan begini, begini? Demi Allah, sesungguhnya aku lebih takutkan Allah daripada kamu, paling bertaqwa kepada-Nya daripada kamu namun aku berpuasa dan aku berbuka, aku sembahyang dan aku tidur dan aku mengahwini perempuan. Maka dengan itu, sesiapa yang tidak suka akan sunnahku maka dia bukan dari kalanganku. (Riwayat Bukhari)
Bila Sunnah Ditinggalkan
Bila sunnah tidak diamalkan, ia (kekosongan) akan diisi dengan bidaah. “Berpeganglah kamu sekalian kepada sunnahku dan sunnah Khalifah ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk selepasku, pegang dan gigitlah dengan gigi geraham, berjaga-jagalah kamu dari benda-benda yang baru maka sesungguhnya setiap yang baru itu bid’ah dan setiap yang bid’ah itu sesat”..’ [Hadith ibnu Majah]
Dalam sebuah hadith disebut “Apabila Sunnah ditinggalkan pelbagai bidaah akan timbul bagi mengantikan sunnah”. Menurut hadith riwayat Abu Daud pula, “Dan sesungguhnya akan timbul dalam kalangan umatku beberapa puak yang dijalari oleh bahaya penyakit suka mengada-ngadakan bidaah sebagaimana menjalarnya bahaya penyakit anjing gila kepada mangsanya – tidak ada suatu urat atau satu sendi tubuhnya melainkan penyakit itu meresap masuk menjalarinya.
Amal Sunnah Bukan Sekadar Dapat Pahala Sunat
Reviewed by KDaily
on
9:20 PTG
Rating:
Tiada ulasan: